Sep 15, 2016

ARMAGEDON: KONSPIRASI MAGEDDO (1)

Dinihari tatkala waktu sahur.

Kuda jantan putih itu, ia pertama kali aku melihatnya. Berdiri sambil mengunyah jerami hijau di dalam bangsal cantik. Siap ada bangsal ya.

Matanya yang kebiruan, bersinar. Sinaran mentari pagi lebih menyerlahkan gagahnya ia, dampak bulu yang putih menyinari aura kesatria. Menunggu siapa? Kuda siapa?

Kawan! Selamat datang! Ya Allah, sungguh gembira aku melihat kau. Kuda itu bercakap dengan aku?

Telepati. Komunikasi tanpa suara. Ajaib! Tapi andai Allah kata boleh, ia pasti boleh.

Masya-Allah. Tabarakallah. Tiada daya upaya melainkan dari Allah belaka. Gema jiwanya memuji ke-Esaan Allah Azza wa Jalla.

Salam sejahtera buat kau, makhluk Allah. Aku tak pernah jumpa kau sebelum ini.

Kuda putih itu kedengaran ketawa, aku kira. Atau sekadar mengeluh?

Memang kau tak ingat aku. Masa itu kau masih kecil lagi.

Kita pernah jumpa masa aku kecil? Kuda itu seolah-olah mengangguk dengan pertanyaanya.

Kau nak tahu lebih tentang aku?

Dia sekadar mengangguk.

Kau nak percaya atau tak, ia bergantung kepada naluri kefahaman kau. Aku datang dari jauh... jauh sangat, merentasi Galaksi Bima Sakti. Aku dari planet apa yang manusia di Bumi sebut sebagai Nebula Kuda Gelap. Tapi aku tak gelap pun.

Kuda itu berbunyi selayaknya seekor kuda – meringkik. Bulu tengkuk yang lebat berwarna putih. Ekor putih. Tiada segaris pun warna gelap.

Dia tersenyum dengan ulah kuda jantan itu. Nakal juga ya kau. Pelik saja cerita kau.

Pelik atau tidak, ia tanggapan. Antara lainnya, susur galur aku antara salah satu jenis kuda di tanah Arab yang paling tangkas. Kejadian Tuhan Yang Maha Esa untuk leluhur aku.

Wah! Kuda jantan tanah Arab yang tangkas. Ya... aku ada baca sejarah itu.

Kuda jantan itu berhenti berkomunikasi. Ia meragut rumput hijau itu, Ralit.

Sedap betul rumput ini. Lemak berkrim, cukup rasa. Namun di akhir ayat itu, ia terdiam. Kuda itu memandang ke atas. Ia meringkik nyaring.

Mengapa? Dia bertanya.

Rumput ini... ia lambang kesuburan tanah gersang. Pertempuran besar sedang dirancang oleh puak-puak jahat, kawan. Rehat dan bertabah. Percikan api kaki kuda-kuda perang bersedia. Aku juga menunggu masa itu, andai ada umur aku. Hanya Allah penentu segalanya.

Kau sedang tunggu siapa? Dia bertanya lagi.

Kau, kawan. Manusia terpilih.

Alih-alih sebuah menara putih muncul nun di kejauhan. Namun putih itu sebentar cuma, ia digantikan dengan bayang hitam yang menyelubunginya.
**********

Moscow, Beijing, Istanbul, New York, London, Paris.

Siaran tv hologram memancar imej seorang berselubung hitam legam, tinggi tubuhnya. Yang peliknya dia berdiri di merata lokasi berbeza dalam masa berbeza di wilayah timur dan barat.

Di New York, dia berdiri di atas bangunan Empire State; di Beijing di menara pencakar langit terkini China Trade Center; di London berdiri di atas London Sky; di Moscow di atas bangunan Moscow Millenium; di Istanbul di atas bangunan gereja terbesar; di Paris berdiri di puncak Menara Eiffel yang sudah diubah suai berdekat lalu.

“Saksikan kuasa kami! Takutkan kami dan mimpikan kami! Dan tunduk kepada kami! Akur dengan kami, kamu akan hidup. Menentang kami, kamu akan mati tergeletak. Musnahkan jati diri kamu. Musnahkah keadilan kalian. Bakar semua kitab agama! Ambil apa saja yang dimahukan, dan sertai kami di bawah Underworld.”

“Ya.. Tuan Besar!” Suara bergema entah dari mana.

“Ini planet aku sekarang! Kalian wajib ikut perintah aku!”

“Ya.. Tuan Yang Mulia.” Suara lagi yang mengakui arahan itu. Suara ramai.

“Hanya yang masuk ke dalam lubang dalam yang tersedia akan selamat dari kemusnahan besar mendatang!”

Hipnosis. Terkesima. Aura ketakutan.

Dunia, pemimpin kecil dan orang awam terpana.

Siapakah makhluk berselubung itu? Apakah dunia akan huru hara yang tidak pernah terjadi sebelum ini?

Masing-masing tertanya-tanya.

** Hakcipta Terpelihara 2016 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: