Sep 1, 2016

Hijab Kembara (1)

Akhirnya mereka tiba di pinggir suatu tasik. Namun... mereka kaget dengan apa yang dilihat. Hanya beberapa untaian air yang jatuh dari atas cenuram ke dalam tasik di bawahnya. Tasik itu berubah menjadi suatu lopak air sahaja. Ruang lain dipenuhi oleh pepasir yang berkilau dipanah terik cahaya mentari.

“Ya Allah! Apa dah jadi ni?” Keluh Feiyan.

“Ke mana mereka semua pergi?” Erkin bertanya.

“Siapa?” Balas Mahesa Pamalayu.

“Semua haiwan itu.”

“Lihat di sana,” kata Mahesa Pamalayu sambil menunjuk ke satu sisi tepi cenuram.

Di atas belebas batu tinggi, berdiri seekor singa dengan pandangannya ke arah tanah. Makhluk dari tasik atas yang menjadi lagenda kaumnnya. Adakah benar wujud tasik di atas?

Kemudian... sang singa besar itu ditemani oleh seekor lagi. Kemudian seekor lagi muncul... dan lagi, dan lagi. Lalu beratus ekor membentuk barisan panjang di sepanjang puncak air terjun yang kering.

Feiyan dan Erkin terlopong.

Kemudian dua barisan terbentuk. Seorang budak lelaki botak menapak di laluan itu. Lalu semua singa itu berlutut memberi hormat.

Untuk beberapa saat, Mahesa Pamalayu menahan nafasnya. Dia terkesima.

Rona wajah budak botak itu berubah menjadi dukacita, lalu suara raungan memecah sunyi. Suara raungan membawa kesedihan dan berwalang durja. Suara tangisan alam.

Ketiga-tiga orang di bawahnya turut terasa, lalu mereka terjelepuk berlutut. Air mata mengalir, terutamanya Feiyan yang teresak-esak.

Suara tangisan budak botak itu semakin meninggi. Kemudian... merengek, dan sunyi. Mahesa Pamalayu mendongak melihatnya. Sorotan mata budak botak itu mengarah ke daratan yang kontang dalam beberapa minit. Khali.

Kumpulan haiwan singa itu beralih dan berundur perlahan-lahan. Dan budak botak itu turut sirna. Yang tinggal hanyalah cenuram yang sunyi.

“Jadi sekarang kau dah jelas. Kita dalam sengsara,” satu suara menerpa deria telinga mereka. Kirin muncul semula.

Aras air kolam menurun. Lekas-lekas ketiga-tiga mereka turun dan menceduk air untuk membasuh buka dan minum. Tapi aras air surut dengan pantas, diserap pepasir.

Aras air di buku lali menjadi kering. Kontang! Kering sepenuhnya!

“Pergi kembali ke perbatasan dua wilayah itu. Lalui hutan hitam itu, dan di hujungnya kau akan temui apa yang dicari,” pemuda wali Allah berkata.

“Seluruh planet begini kontang?” Mahesa Pamalayu bertanya.

“Apa yang kau jangkakan?” Soal Kirin pula.

“Kau orang ada kapsul energi itu. Gunakan secara saksama,” kata pemuda Wali Allah.

Mahesa Pamalayu mengangguk dan berkata, “Dengan izin-Nya.”

Kirin, Feiyan dan Erkin kehairanan melihat pelakuan lelaki dewasa itu.

“Kau bercakap dengan siapa?” Tanya Kirin.

“Dengan seorang hamba Allah yang mulia. Seorang manusia hebat.”

“Aku tak nampak pun.”

“Ada hikmah Allah yang kau tak fahami.”

Kirin terdiam. Walaupun kurang memahami, tapi dia tak mahu bertanya lanjut. Apa yang penting ialah survival kehidupan ini. Dia yang bersayap pun tiada kekuatan selain yang sedia ada.

** Hakcipta Terpelihara 2016 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: