Sep 5, 2016

Hijab Kembara (2)

Mageddo adalah nama sebuah lembah di Palestin - yang dijarah Zionis-Yahudi - yang diramalkan tercetusnya Perang Armagedon oleh sebuah konspirasi tahap tertinggi. Ia terbentang dari Mageddo sehingga ke utara, kemudian sehingga ke Edom di selatan, seterusnya sampai ke Laut Putih di barat dan Bukit Mohab di timur. Dijangkakan oleh pakar strategi perang, sekiranya panglima perang dapat menguasai wilayah ini, maka batalion itu dapat mematahkan setiap serangan.

Dalam pada itu, ada sisi lain yang turut terlibat... terhijab bagi yang tak mahu buka mata hati. Dunia sejajar berdimensi lain, yang turut bersengketa dan cuba untuk mencari penyelesaian, kononnya, untuk jagat manusia.

Dunia akhir zaman yang panas, kering, kontang iman... dan kontang dalam rupabentuk muka datarannya. Manusia dan makhluk yang fana saling cuba untuk mengungguli satu sama lain. Namun hukum Tuhan Yang Maha Esa siapa dapat atasinya?
**********

Budak botak itu memandang Erkin. Bagaikan ada pertautan naluri antara mereka berdua. Atau memangnya ada rasa itu? Alih-alih kedua-duanya melangkah lambat-lambat ke satu sama lain. Kemudian dalam masa yang tidak dihitung, dari posisi di dataran mereka berlari dengan kedua-dua tangan mendepa.

Mereka berlanggar secara berdepan. Dada melanggar dada. Peliknya bukan sakit yang terpamer, malahan ketawa keriangan. Diikuti tubuh kedua-duanya jatuh berguling ke hamparan rumput hijau yang tiba-tiba muncul, dan mereka ketawa.

Feiyan tersenyum senang, kemudian ketawa riang. Dia turut merasai tautan antara adiknya dan budak lelaki botak itu.

Usai ketawa, Erkin dan budak botak bangun hampir serentak dan saling berpelukan. Masing-masing menepuk belakang. Sebaik usai, budak botak itu memandang ke arah Mahesa Pamalayu, lalu berlari.

Budak botak itu tiba di posisi Mahesa Pamalayu agak terlajak lantaran lajunya larian. Dia terseret kaki beberapa ela dari posisi Mahesa Pamalayu. Namun dalam masa beberapa saat sahaja, budak botak itu memeluk Mahesa Pamalayu dan cuba menyentuh muka lelaki dewasa itu.

Mahesa Pamalayu merendahkan badannya dan melutut. Budak botak itu melagakan pipinya ke pipi Mahesa Pamalayu silih berganti kanan dan kiri. Mahesa Pamalayu terkesima dalam rasa yang cukup indah. Aura cinta dan kasih sayang. Aura kehidupan menjalar.

Pertemuan di dataran padang pasir besar itu membuah benih-benih cinta sesama makhluk. Kemudian budak botak itu berkata, “Jom ikut aku.” Budak botak itu segera berlari mendaki bukit pasir.

Tiada sebarang kata terluah dari ketiga-tiga orang yang turut berlari mengikuti larian budak botak itu. Mereka merentasi padang pasir. Sebaik tiba di atas bukit pasir, mereka melihat pemandangan yang menakjubkan.

Di bawahnya, terbentang lembah besar yang subur dengan warna kehijauan. Mahesa Pamalayu terkesima kali kedua, dan kali ini mulutnya terlopong.

“Lihat itu!” Feiyan berkata sambil menunjuk ke arah sebelah kanan di satu hujung wilayah hijau.

Buat pertama kali Mahesa Pamalayu menyedarinya. Tasik besar yang memancar warna berkilau kehijauan di sebelah timur. Hanya hijau.

Budak botak itu bersorak keriangan, lalu berlari lagi. Diikuti oleh Erkin.

Mahesa Pamalayu dan Feiyan saling berpandangan, lalu senyuman menguntum. Tidak lama mereka menunggu untuk ikut serta berlari menuruni bukit pasir paling tinggi itu.

Lebih kurang dua puluh dua minit kemudian, mereka tiba di pinggiran tasik besar. Ada suara riang burung-burung berterbangan menyambut ketibaan mereka.

“Cantiknya burung-burung itu!” Erkin berkata dengan kuat.

Ada kuda, lembu dan kambing. Ada padang rumput yang luas. Wujud barisan pepohonan tinggi yang menaungi dari panas mentari, juga pohon buah-buahan pelbagai jenis dan warna. Nyaman dan mengasyikkan.

Aura kehidupan dengan tasik besar menjadi nadi kesuburan.
Budak botak itu berjalan ke kedudukan mereka berdiri. Ada sengih di wajahnya. “Kau orang suka?”

Ketiga-tiganya tak dapat meluah kata-kata. Terasa bencana yang dialami di wilayah pedesaan mereka, kini berubah menjadi baik.

“Aku harap kalian bertiga dapat menjaga wilayah hijau ini sebaiknya,” luah budak botak itu.

“Apa maksud kau, wahai budak?” Mahesa Pamalayu bertanya. “Kau nak pergi ke mana?”

Budak botak itu memiringkan sedikit kepalanya dan berkata, “Usah bimbang, Mahesa Pamalayu. Aku akan kembali lagi ke sini. Cuma jangan lupakan aku.”

“Mana boleh kami lupakan kau.”

“Ya... tapi kebanyakan mereka dah lupakan apa makna kehidupan ini. Dari wilayah pedesaan kalian sahaja, begitu ramai yang lupa akan hikmah kehidupan. Jagat akan bertindak mengikut apa yang kita perbuat. Nyata lebih mudah menumpahkan darah berbanding air. Jangan menodai air dan kehidupan dengan sengketa berdarah.”

“Masih ramai lagi yang hidup?”

“Masih. Masih ada orang-orang seperti kalian bertiga. Tetapi terlalu ramai yang dah rosak dan hilang jati diri. Mereka bercempera di tujuh wilayah kehijauan yang lain seperti yang ada di sini.”

“Andai demikian, aku turut sukacita.”

“Tapi... sekiranya kau jangka banyak kegelapan muncul di persada alam ini, masih ada jalan untuk kebaikan. Dengan semangat dan setiakawan, kita dapat musnahkan pusat kejahatan.”

Sebaik berkata demikian, budak botak itu berlari laju bagaikan tidak terpijak rumput, lalu terjun menjunam ke air tasik kehijauan itu. Hanya percikan kecil yang terhasil, dan budak botak itu hilang di dalam air tasik.

“Kita akan bina rumah dan kehidupan di sini. Apabila tiba masa yang sesuai, kita cari orang-orang lain yang mungkin masih hidup, dan kita bawa ke sini. Andai ada kesempatan, kita gempur kumpulan syaitan yang mengancam kehidupan,” putus Mahesa Pamalayu.

Hijab Kembara (1)

** Hakcipta Terpelihara 2016 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: